Monday, 19 December 2011

Separuh jiwaku pergi

Banyak petanda yang telah diberi. Banyak petunjuk yang menjentik hati, tapi seringkali saya abaikan segalanya kerana menganggap itu hanya syak wasangka atau lebih kepada mainan fikiran. Namun kini segalanya telah berubah dan saya semakin kusut, hanyut dan lemas dalam memikirkan resolusi ceritera cinta. Tak mudah untuk saya melebar layar, menggebang perihal dalam kain. Lebih2 lagi hal cintan cintun dan seumpamanya. Bukan kerana suka2 bercerita, tapi sebab ramai yang bertanya2, maka saya kena juga buka mulut demi mengelakkan salah faham dan menyulitkan pihak2 lain.

Kepada yang mengenali diri ini, sama ada dari jauh atau dekat, pasti mengetahui perihal bahawasanya hati saya kini sudah hampir sepuluh tahun menyulam cinta bersama si dia. Banyak sejarah yang tercatat, banyak peristiwa pahit manis yang dilalui bersama dan banyak hal yang telah kami kongsikan bersama. Namun segalanya kini, telah berubah dan tinggal kenangan... Permasalahan ini kian memuncak, dan saya kini perlu kuat meneruskan kehidupan. Saya tidak mahu menyalahkan takdir dan tidak sesekali akan menoleh kebelakang lagi.

Kuasa Allah mengatasi segalanya. Segala bicara manis dan layanan mesra yang dipamerkan hanyalah untuk menutup perilaku dan perkara sebenar. Selama ini, saya langsung tidak menduga perkara ini akan berlaku kepada saya. Jauh sekali dapat menghidu dan meneka sendiri perkara ini boleh berlaku. Si dia yang begitu disayangi dan disanjung tinggi sebagai seorang insan yang baik hati budi, penyabar dan amat memahami diri ini. Kami menjalani hubungan percintaan yang indah dengan harapan segalanya akan berakhir ke jinjang pelamin. Impian dan hasrat itu kian hampir, namun... kita hanya mampu merancang. Allah jua yang menentukan.

Airmata saya sudah tak henti2 mengalir setiap kali terkenangkan apa yang berlaku. Hancur luluh hati ini hanya Tuhan yang tahu. Separuh dari jiwa ini sudah hilang. Saya tak mungkin lagi menjadi Faizah yang dulu, yang jiwanya penuh rasa cinta dan bahagia. Kini segalanya musnah dengan tiba2 dan saya kehilangan si dia buat selama2nya. Jiwa saya terasa pedih... bagai ditusuk panah dan duri. Bukan mudah mengukir senyuman selepas diri ini dikhianati. Rasa kecewa, sedih dan malu yang teramat sangat menghantui diri ini :'(

Hanya pada Allah tempat saya adukan segalanya. Meskipun kurang berkeyakinan menempuh hari2 mendatang tanpa si dia di sisi, kehidupan harus diteruskan. Saya percaya segalanya adalah ketentuan Allah. Maka dengan itu, kini saya redha dan pasrah. Mungkin sudah tertulis, dia bukanlah jodoh yang ditentukan oleh Nya. Terima kasih buat semua yang begitu prihatin akan diri ini. Terima kasih juga atas usaha memulihkan semangat, doa dan layanan istimewa yang beri. Semoga Allah memberi kita petunjuk, rahmat dan keberkatan dan membalas budi baik kalian semua. Amin :)

No comments:

Post a Comment