Wajarkah aku berbicara tentang politik? Hahaha, entry kali ini berubah nada kepada aku. Sengaja aku berubah tona kata dan suara. Rasa lancar lontar buah fikiran. Walau tak begitu arif namun aku berminat mengamatinya. Sejauh mana kau taksub dengan politik? Aku rasa, memilih samada hijau atau merah, biru mahupun pelangi, akan menyaksikan pendirian individu itu sendiri. Kau ada hak kau. Aku dengan hak aku. Namun perkembangan mutakhir kini lebih dilihat sebagai propaganda dan senario perebutan kuasa sehingga ke tahap yang sangat bahaya untuk ditafsirkan. Penuh tipu daya dan kabur tanpa cahaya. Terpulanglah! Masing-masing empunya akal dan mata hati.
Akan tetapi, kerisauan aku adalah, apakah yang dipilih itu betul akan mencorak agenda negara kepada apa yang lebih baik daripada sekarang? Adakah barisan kepimpinan negara ini kelak akan hanya meneriakkan kembali isu-isu jelek dan sentimen-sentimen sampah yang begitu menghantui atmosfera politik negara kita sekarang? Apakah yang akan dibahaskan nanti, hanyalah klip-klip video yang berbaur fitnah dan perkara-perkara sumbang untuk dikongsikan? Apakah kita akan mengulangi dosa-dosa pemikiran politik sempit orang-orang terdahulu?
Jawapannya terserah kepada kita sekarang. Aku merasakan, suara rakyat masa kini yang perlu diperjuangkan oleh golongan belia muslim hari ini. Dengan membawa isu-isu dan keluh-kesah rakyat dalam kerangka pemikiran akademik untuk diketengahkan secara intetelektual di hadapan para pemimpin negara. Menyorot kembali keadaan dunia perebutan kuasa, perjuangan sesetengah pihak dilihat seperti tidak matang dan lebih bersikap 'in between'. Ada yang hanya mempelopori sesuatu isu dan ada yang selesa untuk hidup dalam kepompong masing-masing. Tapi selama mana boleh begitu? Malaysia Boleh? Natijahnya mudah. Jangan sampai tergadai maruah agama dan bangsa. Jangan hanya demi kepentingan diri sendiri.
Di mana medium antara sang pemerintah dan rakyat? Mereka yang dipilih haruslah lantang membela nasib rakyat negara dan sekaligus akan mengasuh dan membentuk sahsiah masyarakat seperti yang dicitrakan oleh wahyu Yang Esa. Masanya sudah tiba untuk kita mengakui, bahawa landasan di mana lokomotif negara kita berada sekarang sebenarnya menuju ke lembah kehancuran. Para belia sekarang harus sedar dan terjun ke medan perjuangan.
Jika tidak kita, siapa lagi? Jika tidak sekarang, bila lagi?
Aku seorang nasionalis yang hanya berupaya melontar idea dan berjiwa besar melihat pembangunan negara yang mapan dinikmati semua pihak secara saksama.
No comments:
Post a Comment